AMINAH AL-JAUHARI MEMIMPIN AMAL AKHWAT
DARI KATIL SAKIT
DARI KATIL SAKIT
Beliau adalah seorang wanita agung,
pedoman dan contoh tauladan bagi generasi penerus kelansungan dakwah. Merupakan
seorang pesakit kencing manis dan sakit jantung. Walaubagaimanapun, sakit yang ditanggung tidak menjadi
alasan untuk beliau berlepas diri dari melaksanakan kewajipan dan
tuntutan-tuntutan dakwah, beliau tidak sekali-kali berdiam diri dalam
berhadapan dengan taghut dan sekutunya, bahkan beliau sentiasa
meniupkan ruh dan semangat jihad ketika mana ketakutan dan kebimbangan
menyerang dan menyusup masuk ke dalam jiwa-jiwa pemuda Islam. Sehingga akhirnya
beliau menjadi tahanan rejim Jamal Abdul Nasir atas alasan mengetuai gerakan
akhawat, sedangkan beliau sentiasa terlantar di atas katil sakit!
Beliau adalah Aminah Ali, dan lebih dikenali sebagai Aminah
Al-Jauhari (bersempena nama suaminya Ustaz Mahmud Al-Jauhari). Perkahwinan
barakah ini berlaku pada tahun 1930 dan dengan rahmat-Nya, Allah membuka pintu
hati mereka untuk mengenali dakwah Ikhwan lima tahun selepas perkahwinan
barakah tersebut.
Aminah Ali bukanlah seorang yang berkelulusan tinggi.
Beliau tidak mempunyai sebarang ijazah kelulusan universiti. Tetapi beliau merupakan
seorang yang banyak membaca dan menulis serta banyak menghafal ayat-ayat suci
Al-Quran. Dan kelebihan ini digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan fikrah
Islam dan Ikhwan kepada masyarakat sekelilingnya melalui pengajaran kelas-kelas
di masjid-masjid yang kebanyakannya dihadiri oleh golongan isteri, ibu dan
pemudi Ikhwan.