AMINAH AL-JAUHARI MEMIMPIN AMAL AKHWAT
DARI KATIL SAKIT
DARI KATIL SAKIT
Beliau adalah seorang wanita agung,
pedoman dan contoh tauladan bagi generasi penerus kelansungan dakwah. Merupakan
seorang pesakit kencing manis dan sakit jantung. Walaubagaimanapun, sakit yang ditanggung tidak menjadi
alasan untuk beliau berlepas diri dari melaksanakan kewajipan dan
tuntutan-tuntutan dakwah, beliau tidak sekali-kali berdiam diri dalam
berhadapan dengan taghut dan sekutunya, bahkan beliau sentiasa
meniupkan ruh dan semangat jihad ketika mana ketakutan dan kebimbangan
menyerang dan menyusup masuk ke dalam jiwa-jiwa pemuda Islam. Sehingga akhirnya
beliau menjadi tahanan rejim Jamal Abdul Nasir atas alasan mengetuai gerakan
akhawat, sedangkan beliau sentiasa terlantar di atas katil sakit!
Beliau adalah Aminah Ali, dan lebih dikenali sebagai Aminah
Al-Jauhari (bersempena nama suaminya Ustaz Mahmud Al-Jauhari). Perkahwinan
barakah ini berlaku pada tahun 1930 dan dengan rahmat-Nya, Allah membuka pintu
hati mereka untuk mengenali dakwah Ikhwan lima tahun selepas perkahwinan
barakah tersebut.
Aminah Ali bukanlah seorang yang berkelulusan tinggi.
Beliau tidak mempunyai sebarang ijazah kelulusan universiti. Tetapi beliau merupakan
seorang yang banyak membaca dan menulis serta banyak menghafal ayat-ayat suci
Al-Quran. Dan kelebihan ini digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan fikrah
Islam dan Ikhwan kepada masyarakat sekelilingnya melalui pengajaran kelas-kelas
di masjid-masjid yang kebanyakannya dihadiri oleh golongan isteri, ibu dan
pemudi Ikhwan.
Dalam amal qisim akhawat, suami beliau diamanahkan
sebagai setiausaha dan penghubung terus qisim akhawat oleh Mursyid Am
Ikhwan Muslimin, Imam Syahid Hasan Al-Banna. Beliau pula dilantik sebagai
bendahari dan pemegang amanah kewangan qisim akhawat. Qisim
akhawat memainkan peranan yang sangat besar dalam amal dakwah Ikhwan
ketika itu. Antara aktiviti yang dilakukan adalah mendirikan sekolah untuk
anak-anak yatim dan miskin di Syari’ Bustan Fadhil, Mounira. Sekolah ini
menyediakan tenaga pengajar yang terdiri daripada akhawat sendiri yang
terpelajar dan berkemahiran. Walaubagaimanapun, pada tahun 1948 ia ditutup oleh
pihak penguasa ketika itu.
Qisim akhawat juga
memainkan peranan yang sangat besar dalam meneguhkan iman, prinsip dan
pendirian anggota Ikhwan yang ditangkap kerajaan. Mereka menyediakan pakaian,
makanan untuk anggota Ikhwan yang berada dalam tahanan penjara. Selain itu,
mereka juga sentiasa menziarahi isteri-isteri dan keluarga-keluarga anggota
Ikhwan yang dipenjara serta membantu mereka dari aspek kewangan dan sokongan
moral. Segala keperluan dan aduan mereka akan dipenuhi dan dibantu sedayanya.
Pada 1965, tahun yang menyaksikan syahidnya tokoh agung
Ikhwan Muslimin, Sayyid Qutb. Seramai lebih daripada 200 orang akhawat
ditangkap dan dipenjarakan termasuklah Aminah Ali.
Semasa dalam tahanan rejim Jamal Abdul Nasir ini, sakit
yang dihidapi oleh Aminah Ali menjadi semakin serius. Beliau seringkali jatuh
pengsan akibat penyakit kencing manis. Bahkan, sakitnya menjadi semakin serius
disebabkan pihak penjara menyediakan roti dan asal iswid (sirap pekat
dan hitam yang ditapis daripada gula mentah dalam proses pembersihan) sebagai
makanan rutin penjara yang pada hakikatnya adalah makanan terlarang bagi
pengidap sakit kencing manis.
Sakit beliau yang semakin hari semakin kronik ini akhirnya
menyebabkan pihak penjara merancang supaya beliau dikeluarkan bagi tidak
menyusahkan pihak pengurusan penjara jika sekiranya beliau mati dalam tahanan.
Perancangan ini dilakukan dengan menawarkan pertukaran pertuduhan Aminah Ali
dengan suaminya (yang ketika itu juga dalam tahanan). Ini bermakna segala
pertuduhan dan kesalahan yang disabitkan ke atas Aminah Ali akan dipikul oleh
Ustaz Mahmud Al-Jauhari.
Persetujuan dimateri, maka Aminah Ali dibebaskan dengan
harapan pihak penjara beliau akan mati tidak lama kemudian di luar penjara.
Walaubagaimanapun perancangan Allah itu mendahului perancangan musuh-Nya. Allah
mentakdirkan dan menghendaki Aminah Ali hidup selama 15 tahun selepas
pembebasannya dari penjara dan sepanjang tempoh itu beliau tetap thabat
dalam menyampaikan risalah Islam kepada manusia.
Beliau merupakan qudwah bukan sahaja sebagai
seorang pembawa risalah yang amanah, tetapi juga sebagai seorang isteri yang
taat dan ibu yang sabar dan redha dengan ketentuan Allah. Apabila mendapat
pengkhabaran kesyahidan anaknya yang pergi berjihad menentang Yahudi laknatullah
dalam perang Oktober 1973, tiada yang terucap keluar dari bibirnya melainkan
kalimah “Alhamdulillah, syukur ke atas-Mu yang telah memuliakan aku dengan
kesyahidannya”
Ustaz Mahmud Al-Jauhari dalam bukunya bertajuk Al-akhawat
Al-Muslimat, beliau menggambarkan isterinya sebagai seorang yang tidak pernah
lalai dari tanggungjawabnya sebagai isteri walaupun sibuk dengan
tugasan-tugasan dakwah. Hari-harinya dimulakan dengan menunaikan
tanggungjawabnya di dalam rumah dan terhadap suami dan anak-anak. Setelah
selesai, beliau akan keluar untuk memberi ceramah-ceramah di masjid-masjid dan
melaksanakan amal-amal dakwah. Dan pada tengaharinya pula, beliau akan kembali
ke rumah untuk bersedia menyambut kepulangan suaminya.
Aminah Ali dijemput menghadap rabnya pada tahun
1980. Suami beliau selepas itu terus setia dengan janji mereka untuk terus thabat
dalam dakwah dan akhirnya meninggal dunia 24 tahun kemudian iaitu pada tahun
2004. Moga kebahagian di alam sana menjadi milik mereka yang mutlak selepas
segala penat lelah dan perit jerih di dunia yang fana ini.
Sesungguhnya, beliau telah setia pada janjinya
dengan Allah dan Rasul dalam memperjuangkan agama ini. Beliau telah membuktikan
bahawa risalah ini adalah begitu mahal berbanding dengan harga sebuah
kehidupan. Justeru, beliau tidak ragu-ragu mengorbankan seluruh kehidupannya
demi mengotakan janji tersebut, walau berperang dengan kesakitan dan
ketidakupayaan. Semoga roh semangatnya terus mekar mewangi dan terus menjadi
motivasi buat kita pewaris dakwah ini.
Oleh: Dr Raihana Zainal Abidin, Graduan Universiti Universiti Ain Shams.
"Hidup adalah soal pilihan... Segalanya tergantung pada hati dan akal untuk memilih dan menentukan... Sekalipun hakikatnya, dipenghujungnya nanti bakal tersingkap Sebuah Hakikat; Bahawa segalanya telah tertulis dalam percaturan takdir Allah... Maka, Berjalanlah Tanpa Henti.. Melangkahlah Dengan Pasti.. Sehingga Nafas Ini Terhenti, Ketika Janji Itu Terpatri..."
"Mengorak Langkah Mencetus Paradigma Generasi Solehah..."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan