KECEMBURUANKU PADA MEREKA...
Assalamu’alaikum warahmatuLLAHI wabarakatuh.
BismiLLAH wa Hamdan syukran liLLAH.
Segala puji buat-Mu Allah, Habibi Qalbi. Selawat dan salam buat
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh ahlul bait dan para sahabat serta
tabi’in, tabi’ tabi’in seterusnya buat para pejuang agama yang telah syahid dan
yang masih tegar berdiri memperjuangkan Islam. Ma, Pa’. Guru-guru dan
sahabat-sahabiah sefikrah dan seakidah yang saya cintai kerana ALLAH jua.
Ketika jasad dan minda dihimpit kesibukan dan ujian menjalani
hidup sebagai musafir ilmu dan khalifah di bumi ALLAH ini, terkadang hayunan
langkah seorang muslimat ini terasa lesu dan lemah. Namun, saya tahu, saya
perlu mencari penawarnya. Saya tidak boleh membiarkan langkah ini menjadi lemah
sehingga terhenti. Kerana bimbang, ketika ia terhenti, ia bakal menjadi langkah
terakhir di sebuah perhentian yang pastinya bukanlah destinasi sebenar yang
hendak dituju.. Maka, lebih 2 minggu ini, saya menghidangkan pendengaran saya
dengan lagu wanita dan srikandi Islam zaman silam. Setiap hari. Semoga ruh itu
meresap dalam diri. Semoga mereka 'ada' adalam diri yang kerdil dan lemah ini.
Makanya, dalam proses 'refresh' ini, saya dihambat satu rasa. Rasa
cemburu dan persoalan. Rasa cemburu yang sentiasa mengundang air mata yang
tidak jemu mengalir. Persoalan: Adakah DIA dalam DIRIKU? Siapakah dia?