KECEMBURUANKU PADA MEREKA...
Assalamu’alaikum warahmatuLLAHI wabarakatuh.
BismiLLAH wa Hamdan syukran liLLAH.
Segala puji buat-Mu Allah, Habibi Qalbi. Selawat dan salam buat
junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan seluruh ahlul bait dan para sahabat serta
tabi’in, tabi’ tabi’in seterusnya buat para pejuang agama yang telah syahid dan
yang masih tegar berdiri memperjuangkan Islam. Ma, Pa’. Guru-guru dan
sahabat-sahabiah sefikrah dan seakidah yang saya cintai kerana ALLAH jua.
Ketika jasad dan minda dihimpit kesibukan dan ujian menjalani
hidup sebagai musafir ilmu dan khalifah di bumi ALLAH ini, terkadang hayunan
langkah seorang muslimat ini terasa lesu dan lemah. Namun, saya tahu, saya
perlu mencari penawarnya. Saya tidak boleh membiarkan langkah ini menjadi lemah
sehingga terhenti. Kerana bimbang, ketika ia terhenti, ia bakal menjadi langkah
terakhir di sebuah perhentian yang pastinya bukanlah destinasi sebenar yang
hendak dituju.. Maka, lebih 2 minggu ini, saya menghidangkan pendengaran saya
dengan lagu wanita dan srikandi Islam zaman silam. Setiap hari. Semoga ruh itu
meresap dalam diri. Semoga mereka 'ada' adalam diri yang kerdil dan lemah ini.
Makanya, dalam proses 'refresh' ini, saya dihambat satu rasa. Rasa
cemburu dan persoalan. Rasa cemburu yang sentiasa mengundang air mata yang
tidak jemu mengalir. Persoalan: Adakah DIA dalam DIRIKU? Siapakah dia?
DIA...
1. Ingatkah kita lagi tentang susuk seorang Wanita Agung.
Mungkin Ramai manusia sudah memiliki ingatan yang sirna mengenai seorang Ummul
Mukminin bernama Khadijah binti Khuwailid. Hidup dalam lingkungan keluarga yang
terhormat sehingga mendapat didikan akhlak yang mulia, sifat yang tegas, dan
mampu menghindari hal-hal yang tidak terpuji sehingga kaumnya pada masa
jahiliyah menyebutnya dengan ath thahirah (wanita yang suci). Dia… Seorang
wanita yang sanggup berkorban segala kekayaan dan segenap harta miliknya untuk
membantu dakwah Rasulullah SAW. Dialah yang paling pertama beriman, tanpa
meragukan sedikit pun seruan Nabi. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya
yang ketakutan tanpa memperlekehkan jauh lagi meninggalkannya. Peribadinya yang
tenang membuatnya tidak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan mengikuti
kebanyakan pendapat penduduk negerinya yang menganggap Nabi Muhammad sebagai
orang yang telah mengkhianati tradisi luhur bangsanya. Dialah wanita, yang
tegar bertahan susah senang bersama suaminya, sehingga dirinya dijemput ALLAH
SWT meninggalkan seorang suami yang bakal menjalani Tarbiyah Allah dengan
segenap penyerahan dan sandaran hanya pada-NYA. Bayangkanlah wahai diri dan
sahabiah semua, dia Khadijah… Wanita yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup
dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan sekadar makan pucuk
kayu sahaja hingga mulutnya terluka. Dia… Wanita yang telah mengorbankan
seluruh hidup, jiwa dan hartanya untuk kepentingan dakwah di jalan Allah.
Keteguhan hati dan istiqomahnya dalam iman tidak terbanding dangan sesiapapun
isteri Baginda sehingga Allah berkenan menitip salamNya melalui Jibril untuk
Khadijah dan menyiapkan sebuah rumah baginya di syurga. Betapa mulianya seorang
Khadijah. Besarnya pengaruh seorang Khadijah pada risalah nubuwah, mulia
akhlaknya dan cinta yang sucinya sangat membekas di hati Rasulullah sehingga
baginda tidak jemu menyebut-nyebut kebaikannya walaupun seorang Khadijah telah
wafat. Ya. Kehebatan seorang Khadijah mengundang cemburu. Cemburu Aisyah.
Cemburu saya. Aduh! Dimanakah Khadijah dalam diriku dan kita semua..
DIA...
2. Mungkin ramai juga yang mula terlupa tentang seorang Fatimah
Az-Zahrah binti Muhammad SAW. Dia adalah belahan jiwa Rasulullah, puteri wanita
terpandang dan mantap agamanya, isteri daripada lelaki ahli syurga iaitu Ali
bin Abi Thalib. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya
itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa
membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci
itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang
suci dan tegar itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya sehingga
kecintaan Baginda padanya melebihi cinta pada yang lainnya. Dalam shahih Muslim
menurut syarah An Nawawi Nabi bersabda: "Fatimah merupakan belahan
diriku. Siapa yang menyakitinya, bererti menyakitiku." Dia seorang
Fatimah. Seorang wanita yang rela hidup dalam kefakiran demi mengecap manisnya
iman bersama ayah dan suami tercinta. Dia seorang wanita yang sangat tabah,
kuat menempuhi segala dugaan. Ingatkah kita lagi tentang kisah sekalung rantai
pemberian arwah ibundanya tercinta yang diberikannya kepada seorang musafir
miskin sedang Fatimah juga pada masa itu sudah berpuasa 3 hari lantaran tiada
makanan dirumahnya? Menitis air mata seorang Nabi melihatkan taqwa puterinya.
Sungguh… Layaklah dia menjadi wanita penghulu syurga. Ya ALLAH… Kemanakah
Fatimah dalam diri yang kerdil ini?
DIA...
3. Mungkin, lebih ramai yang telah melupakan susuk seorang
wanita bernama Asiah binti Muzahim. Permaisuri seorang Raja yang zalim. Dialah
seorang isteri solehah kepada seorang suami yang dilaknati ALLAH. Beriman
kepada Rabb yang Satu dikala suaminya Firaun menentang Nabi Musa dan ALLAH.
Seorang wanita biasa, namun kuasa ALLAH telah menjadikan bicara lembut dan
sifat keibuan miliknya untuk menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. ALLAH
menjadikannya antara yang beriman dengan seruan Nabi Musa AS. Malah, ALLAH juga
telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya sebuah
Istana di syurga atas ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun dan
menerima segala seksaannya demi memperjuangkan deen ISLAM dalam dirinya. Dia
wanita biasa yang memiliki Iman dan Taqwa yang luar biasa sehingga kisahnya
terukir dalam lipatan Al-Quran untuk dijadikan panduan buat semua muslimah.
Dia…Wanita Solehah dalam Asuhan Seorang Lelaki yang dimurka ALLAH. Menjadi
bukti sebuah hakikat, bahawa betapapun besar kecintaan dan kepatuhannya pada
suami ternyata di hatinya masih tersedia tempat tertinggi yang ia isi dengan
cinta pada Allah dan RasulNya. Ya ALLAH, adakah Asiah dalam diri yang lemah
ini…
DIA...
4. Mungkin lebih ramai yang mula terlupa kepada Si Suci Maryam,
ibu kepada Isa AS. Puteri seorang alim bernama Imran. Maryam Binti Imran. Sang
Perawan yang menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci,
sehingga ALLAH memuliakannya dengan memilih Zakaria AS sebagai penjaga.
Kesucian yang terpelihara, akhlak yang terpuji, peribadi yang mulia melayakkan
dia, seorang Maryam, wanita barokah yang rahimnya dipilih ALLAH untuk
mengandung dan melahirkan seorang nabi. Isa AS. Setelah melahirkan Isa AS dan
ditohmah dengan pelbagai cercaan dan hinaan, dia wanita tegar dan solehah yang
meletakkan seluruh pergantungan hanya kepada ALLAH, dan bersangka baik atas
segala apa yang berlaku ke atasnya dirinya. Akhirnya, ALLAH menurunkan
pembelaanya melalui anak kecil, seorang Isa AS yang boleh berbicara dan menyeru
manusia ketika masih dalam buaian. Mulianya seorang Maryam sehingga satu surah
dalam Al-Quran yang mulia dinamakan surah Maryam. Ya ALLAH… Hebatnya Seorang
Maryam… tidak terjangkau dia dalam diri yang kerdil ini.
DIA… Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiah. Mereka wanita utama.
Mereka Wanita Penghulu Syurga. Dimanakah mereka dalam diriku dan diri kita
semua? Wahai wanita dan Muslimah akhir zaman yang mahu menggelar diri kita ini
sebagai Wanita Solehah!
Layakkah?
"Hidup adalah soal pilihan... Segalanya tergantung pada hati dan akal untuk memilih dan menentukan... Sekalipun hakikatnya, dipenghujungnya nanti bakal tersingkap Sebuah Hakikat; Bahawa segalanya telah tertulis dalam percaturan takdir Allah... Maka, Berjalanlah Tanpa Henti.. Melangkahlah Dengan Pasti.. Sehingga Nafas Ini Terhenti, Ketika Janji Itu Terpatri..."
~Mengorak Langkah Mencetus Paradigma Generasi Solehah~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan