WANITA HEBAT ITU
“Perempuan itu separuh daripada sebuah bangsa. Bahkan
separuh yang paling mempengaruhi dan memberi peranan yang besar bagi hidupnya
sesuatu bangsa,”
(As-Syahid Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwan
Muslimin)
Di sebalik hebatnya seorang pemuda dalam memperjuangkan
agama, hadirnya seorang wanita sebagai pendamping, memberi sokongan dan
dorongan supaya terus maju mengorak langkah. Tidak dapat dinafikan, liku-liku
perjuangan yang dihadapi oleh baginda Rasulullah SAW amat berat sekali. Namun
hadirnya Khadijah yang sentiasa menenangkan dan membantu perjuangan baginda,
membuatkan langkah-langkah baginda tetap teguh, walaupun dihina dan dicerca
kaum sendiri.
Begitu juga dengan Hasan Al-Banna. Tugas beliau bukanlah
mudah. Beliau meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, di saat masyarakat sedang
lena dengan gelombang jahiliyah. Kehidupan yang penuh dugaaan ini memerlukan
kepada peranan seorang isteri yang dapat menghembuskan semangat suami
untuk meneruskan tugas-tugas dakwah. Hebatnya peranan seorang isteri,
sehingga mampu membuatkan si suami tetap tegar berdiri, di kala tiupan dugaan
menyapa diri.
Wanita hebat di belakang lelaki yang hebat
Beliau adalah Lathifah Husain Ash Shuli, dilahirkan dan
dibesarkan dalam keluarga yang taat melaksanakan perintah agama. Ayahnya
merupakan seorang tokoh agama di Ismailiyah dan terlibat dalam dakwah
Ikhwan Muslimin. Ayahnya banyak mengajarnya tentang dakwah yang dibawa
oleh Hasan Al-Banna sejak kecil lagi.
Setelah dinikahkan dengan Hasan Al-Banna, beliau
menjalankan tugas sebagai seorang isteri dengan penuh ketaatan. Beliau
menyedari bahawa tugas sebagai isteri kepada pejuang agama bukanlah mudah.
Beliau juga sangat meyakini bahawa ketaatan kepada suami merupakan sebahagian
daripada jihadnya di jalan dakwah ini.
Belajar erti pengorbanan
Diriwayatkan daripada Ibnu Hibban:
“Apabila seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa di
bulan Ramadan dan memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka kelak
akan dikatakan padanya, masuklah dari mana-mana pintu syurga yang engkau
inginkan”.
Inilah salah satu prinsip yang sangat dipegang oleh
Lathifah. Dalam menjalani kehidupan rumahtangga bersama Hasan Al-Banna, beliau
banyak belajar erti pengorbanan yang harus diberikan selaku seorang isteri
kepada suami dan ibu kepada anak-anak.
Tahun demi tahun berlalu, bebanan tugas suaminya bertambah
apabila dakwah Ikhwan Muslimin semakin berkembang. Pada masa yang sama,
Lathifah terpaksa menguruskan keperluan anak-anak di rumah. Jadual si suami
yang semakin sibuk dan kerap berada di luar rumah menuntut beliau untuk
sentiasa bersabar dalam membesarkan dan mendidik anak-anak supaya mereka turut
sama memahami hakikat kehidupan seorang pejuang. Lathifah tetap taat,
melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri dengan penuh ikhlas. Beliau
menerima perubahan itu dengan hati yang lapang dan keyakinan yang semakin kuat
kepada Allah SWT.
Walaupun sibuk dengan urusan dakwah, Hasan Al-Banna tetap
menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak di rumah. Al-Banna sangat
meyakini kebolehan isterinya dalam mengasuh anak-anak ketika ketiadaannya.
Al-Banna juga percaya, isterinya bukan calang-calang orang, bahkan isterinya
seorang yang sangat memahami tugasannya dalam dakwah. Dan ini telah dibuktikan
apabila Lathifah sendiri sanggup mengorbankan kepentingan diri dan keluarga,
demi menempatkan dakwah sebagai prioriti utama.
Sana’, salah seorang puteri Al-Banna pernah menceritakan
tentang peribadi ibunya:
“Ibuku adalah seorang tua yang mendahulukan kepentingan
dakwah melebihi kepentingan diri dan rumahnya. Ibu mengasuh kami dengan
sebaik-baiknya, menyediakan rumah untuk menyambut kedatangan ayah yang pasti
membawa amanah berat dari dakwahnya, agar ayah dapat merasai ketenangan,
walaupun hanya beberapa jam di rumah, untuk kembali sibuk dalam berdakwah”.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam dakwah,
kesetiaan Lathifah dalam mendukung cita-cita suaminya merupakan perjuangan yang
besar. Beliau menganggap kader-kader dakwah Ikhwan Muslimin sebagai anaknya
sendiri. Beliau juga mewakafkan rumahnya dan mengizinkan semua keperluan rumah
digunakan untuk dakwah.
Wanita hebat itu setelah pemergian seorang suami
Sangat perit ujian yang terpaksa diharungi Lathifah. Saat
si suami pergi menyambut seruan Ilahi, beliau terpaksa memikul tanggungjawab
membesarkan enam orang anak yang masih kecil. Ketika itu, anak sulungnya, Wafa’
baru mencecah 17 tahun dan beliau sedang sarat mengandung. Namun, semua ini
tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dakwah suami tercinta.
Pernah suatu ketika sekitar tahun 1948, Lathifah tetap
teguh bersama barisan ikhwah dan akhawat dalam menyambung perjuangan suaminya
biarpun sebahagian besar pendokong dakwah Ikhwan Muslimin ditangkap. Lathifah
tidak berdiam diri. Beliau mengambil sisa-sisa peninggalan harta yang dimiliki
untuk diagihkan pada keluarga Ikhwan yang ditangkap. Beliau tidak tenang
melihat keluarga-keluarga Ikhwan meraba-meraba untuk meneruskan kehidupan
setelah suami mereka ditangkap.
Begitulah lembaran kehidupan seorang isteri kepada pejuang
kebenaran, lembaran kehidupan yang penuh perjuangan dan pengorbanan yang luar
biasa. Sejak awal pernikahan, beliau mengatur urusan rumahtangga dengan
bijaksana, sehingga suaminya dapat merasakan ketenangan setiap kali pulang dari
kerja-kerja dakwah. Beliau juga mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh
kesabaran, tanpa pernah mengeluh. Sehingga gugurnya si suami di saat beliau
mengandungkan anak terakhir biarpun dalam keadaan yang sakit dan lemah.
Kemudian, beliau meneruskan tanggungjawab mendidik anak-anak sehingga mereka
benar-benar dapat menghayati dan meneruskan semangat juang seperti ayah mereka.
Semoga kisah Lathifah Husain Ash Shuli ini memberi kekuatan
untuk setiap wanita menjadi hebat sepertinya!
Oleh: Nurul Wahidah binti Ramli, Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti Iskandariah
"Hidup adalah soal pilihan... Segalanya tergantung pada hati dan akal untuk memilih dan menentukan... Sekalipun hakikatnya, dipenghujungnya nanti bakal tersingkap Sebuah Hakikat; Bahawa segalanya telah tertulis dalam percaturan takdir Allah... Maka, Berjalanlah Tanpa Henti.. Melangkahlah Dengan Pasti.. Sehingga Nafas Ini Terhenti, Ketika Janji Itu Terpatri..."
"Mengorak Langkah Mencetus Paradigma Generasi Solehah..."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan